Monday, April 25, 2011

cinta sebelom akad...

Tiada cinta sebelum nikah.

No love before akad.

Cinta hanya selepas kahwin.

Dan bla bla bla bla bla….

Ayat yang seringkali aku baca, dan sering kali aku dengar.

Tetapi, aku tak pernah sama sekali setuju dengannya.

Kerana pada aku, cinta sebelum nikah itu ada.

Aku kira, yang patut tiada sebelum nikah adalah hubungan intim seperti suami isteri. Cinta, pada aku, sebelum nikah lagi memang sepatutnya perlu diwujudkan.

Oh, lainlah kalau definisi cinta kamu, telah kamu rendahkan dengan menganggap ‘bercinta’ itu adalah ‘bercouple, pegang-pegang tangan, berhubungan tanpa batas’ dan sekutu-sekutunya.

Maaf. Cinta aku mahal, dan tidak serendah itu.

Sebab itu cinta aku yang mahal itu, wujud sebelum bernikah lagi.

Cinta yang sebenar

Couple itu maknanya cinta? Hubungan intim lelaki perempuan yang bukan mahram tanpa batasan itu cinta?

Maaf. Jika kamu panggil itu sebagai ‘bercinta’, tandanya kamu telah menjatuhkan harga cinta. Untuk aku, itu semua bukan cinta. Cinta adalah suci. Bersih. Dan ianya membawa ke syurga.

Cinta mestilah dibina dari keimanan, dan dicari berlandaskan petunjuk Allah SWT.

Cinta adalah perasaan, yang wujud di dalam jiwa dan diterjemahkan dalam bentuk amal.

Melempar pasangan ke dalam neraka, dengan melanggar arahan-arahan Allah, itu bukan namanya bercinta. Walaupun kamu sering gunakan perkataan ‘cinta’ dalam hubungan kamu.

Cinta lebih suci dari apa yang kamu jangka.

Dan ‘cinta’ yang asli ini, tidak sepatutnya diharamkan sebelum bernikah.

Cinta sebelum kahwin

Kalau benar cinta kepada pasangan kamu, maka kamu akan menjaga diri kamu dari laranganNya. Kamu tidak akan melempar pasangan kamu ke neraka dengan mengajaknya bermaksiat kepada Allah SWT.

Kalau kamu benar cinta, kamu akan meminta petunjuk Allah dan berkira-kira. Kamu akan list pro dan kontra serta muhasabah kembali perasaan yang hadir di dalam diri kamu. Kemudian bila benar-benar sudah tetap hatinya, lanjutkan dengan lamaran tanda kamu benar-benar serius. Yang lelaki boleh terus kepada keluarganya, yang perempuan boleh menghantar wakil untuk bertanyakan lelakinya.

Tapi pastikan kamu benar-benar siap. Bukan istikharah semata-mata. Tetapi ada perancangannya juga. Perancangan dunia kamu, dan perancangan akhirat kamu. Ini kalau kamu benar-benar cinta.

Kamu berhubungan atas perkara yang sangat-sangat-sangat penting sahaja dan kamu tidak berlengah-lengah dalam meninggalkannya ketika urusan selesai.

Untuk lelaki, kamu bina hubungan yang erat dengan kedua ibu bapanya, dan adik beradik lelakinya, untuk berta’aruf dengannya.

Untuk perempuan, kamu bina hubungan yang erat dengan ibunya dan adik beradik perempuanya, serta saudara mara perempuan yang dia ada untuk berta’aruf dengannya.

Kamu siapkan diri kamu untuk menjadi suami@isteri yang baik untuk pasangan kamu. Kamu tekankan pada diri kamu untuk lakukan perubahan dengan memandang bahawa kamu mesti hendak membahagiakan pasangan kamu sebahagia-bahagianya. Dan apakah yang lebih bahagia dari mendapat keredhaan Allah dan masuk ke syurga bersama-sama?

Dan pantaskan urusan perkahwinan kamu. Jatuhkan dengan segera perkara-perkara yang menghalang perkahwinan kamu dari berlangsung dengan cepat. Itu satu tanda cinta.

Kalau kamu tanya akan cinta aku.

Maka cinta aku begitulah.


Kamu, jangan murahkan cinta dan memandang rendah kepadanya.

Jangan kamu salahkan cinta kerana kesalahan-kesalahan kamu atau orang lain.

Kalau kamu lemah hendak mengangkat cinta pada pundakmu, maka kuatkanlah dirimu itu. Bukan memandang rendah orang lain, atau meyalahkan orang lain, yang bercinta dengan cintanya yang betul.

Aku tidak mewajibkan cinta sebelum nikah. Tetapi yang aku ingin jelaskan di sini adalah, jika ia wujud, maka itu bukan satu kesalahan. Yang perlu adalah pengawalan agar ia tidak keluar dari definisi cinta yang sebenar.

Definisi cinta aku adalah = ingin masuk syurga bersama.

Apakah cinta kalau melempar pasangan ke neraka?

Untuk aku, inilah dia kefahaman aku. Inilah dia cinta aku.

Oh ya, dan aku belum bernikah.

Waallahulam…



2 comments: